Pages

Monday 2 July 2012

USRAH DAN KEPENTINGANNYA



Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, (الأسرة ( yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau pun ia disebut sebagai Famili. Di dalam kamus al-Munjid Fi al- lughatu Wa al-A’lam adalah mufrad kepada (أسر ) iaitu satu kumpulan yang mempunyai hubungan yang kukuh.
Manakala dari segi istilahnya pula, usrah  bermaksud kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong- menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).
Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.
Jelaslah di sini bahawa ‘usrah’ bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan bertolong-tolong  apabila ada ahli yang  ditimpa kesusahan. Usrah juga merupakan satu medium dakwah untuk berdialog mengenai Islam secara dinamik. Dengan ini ia dapat meningkatkan mutu ukhuwah atau persaudaraan.
  Ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan kepada mereka konsep dakwah  dalam pembentukan diri sepertimana yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada umatnya kini.
Objektif
  1. Melahirkan Mahasiswa yang beriman, bertaqwa, berjiwa murni berlandaskan panduan al-Quran dan as-Sunnah.
  2. Mempertingkatkan bakat kepimpinan mahasiswa menerusi penglibatan mereka dalam organisasi dan pengurusan bagi melahirkan insan yang berjiwa kental dalam menempuhi cabaran hidup.
  3. Mengeratkan hubungan silaturrahim.
  4. Memantapkan lagi sahsiah yang berteraskan ilmu bagi mempertingkatkan jati diri yang jitu dalam aspek kecemerlangan akademik dan sahsiah yang mulia.
  5. Melahirkan insan yang bersepadu dari segi rohani dan jasmani untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

JUSTIFIKASI
  1. Indeks keruntuhan akhlak dikalangan pelajar semakin meningkat oleh itu satu taskforce perlu dibentuk bagi menangani masalah ini.
  2. Selaras dengan hasrat  bagi melahirkan modal insan yang berteraskan Spritual,Phizikal, Intelectual, Emotional dan social.
  3. Memartabatkan Imej  sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menjaga kepentingan pelajar bukan sahaja dari sudut akademik bahkan dari sudut akhlak dan sahsiah diri.
Ramai yang mungkin memahami dan meletakkan perspektif bahawa usrah itu adalah sebuah liqa' (perjumpaan) mingguan yang di dalamnya ada pengisian-pengisian. Dengan perspektif itu, selalunya berlaku kepincangan di dalam diri mereka, "Bukankah lebih baik kita pergi dengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz?". Di dalam kefahaman mereka, usrah tersebut umpama majlis-majlis ilmu tetapi dalam jumlah yang lebih sedikit jumlah pesertanya. Bahkan tidak lebih dari itu.

Apabila usrah dilihat seperti itu, maka ia tidak ubah seperti sebuah ceramah berskala kecil. Sesebuah usrah yang berfungsi seperti itu sahaja tidak mungkin mampu membina keperibadian muslim sehingga mereka menjadi rijal-rijal da'wah. Ia akan menjadi sebuah program yang gagal di dalam pendekatannya, tidak jelas di dalam matlamatnya, bahkan hanya merosakkan pandangan umum terhadap kalimah usrah.

Sesungguhnya, usrah adalah sebuah nizam (SISTEM). Manakala liqa' (perjumpaan) mingguan hanyalah salah satu daripada programnya. Andaikata sistem ini lemah, nescaya akan lemahlah sesebuah gerakan Islam yang menjadikan tarbiyah sebagai asasnya. Dan sesungguhnya, kita adalah satu saff yang meyakini bahawa method revolusi Islam wajib menjadikan tarbiyah sebagai asas. Al-Banna berkata: "Berusahalah supaya anda menjadi sebahagian daripada batu-bata yang baik dalam binaan Islam ini".

Untuk memperkuatkan sistem ini, Hasan al-Banna telah menggariskan tiga rukun. Lalu beliau berpesan kepada golongan yang meyakini fikrah ini dengan pesanan:
"Jagalah rukun-rukun ini. Cubalah sedaya-upaya merealisasikannya supaya hubungan ini wujud bukan sekadar kerana satu arahan, sebaliknya ada ruh di sebalik pelaksanaannya".

Rukun-rukun usrah:

(1) Ta'aruf

"Ini adalah rukun pertama. Kenal-mengenalilah antara satu sama lain dan wujudkanlah suasana kasih-sayang sesama kamu dengan roh Allah. Hayatilah nilai persaudaraan yang sebenar dan ideal sesama kamu. Berusahalah sedaya-upaya supaya kamu tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan kamu. Sentiasalah laksanakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang mulia. Sentiasalah merenungi ayat-ayat dan hadith-hadith berikut. Ingatlah firman Allah SWT:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara
(al-Hujurat, 49:10)
Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam)
(Aali 'Imran, 3: 103)

RasuluLlah SAW juga pernah bersabda:
Seorang mu'min dengan seorang mu'min yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
(HR. Bukhari dan Muslim)
Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain, tidaklah dia menzaliminya dan tidaklah juga dia membiarkannya.
(HR. Mutafaqqun 'alayh)
Kasih-sayang, belas kasihan dan simpati sesama orang-orang yang beriman ibarat satu tubuh.
(2) Tafahum

Inilah rukun kedua dalam sistem ini. Istiqamahlah di astas jalan yang benar. Laksanakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan Allah. Nilailah diri kamu sehalus-halusnya; adakah kamu orang-orang yang taat atau orang yang derhaka.

Setelah itu hendaklah kamu nasihatkan saudara kamu jika kamu melihat ada kelemahan padanya. Hendaklah saudara menerima nasihat daripada saudara kamu dengan gembira dan senang hati. Berterima-kasihlah kepadanya kerana nasihatnya itu. Janganlah saudara yang memberi nasihat itu berubah hati walaupun sebesar kuman sekalipun terhadap saudara yang dinasihati. Janganlah sehingga dia merasakan saudaranya itu lebih rendah daripadanya atau dia merasakan dia lebih baik daripada saudaranya itu.

Kedudukan kasih-sayang yang dijalin kerana Allah adalah kedudukan yang tertinggi, selain itu nasihat itu sendiri adalah rukun agama ini: 'Agama adalah nasihat'. Semoga Allah memperkukuhkan hubungan sesama kamu dan Allah berikan kamu kekuatan untuk mentaatiNya. Semoga Allah menjauhkan kita semua daripada angkara tipu daya syaitan.

(3) Takaful

Ini adalah rukun ketiga. Hendaklah kamu saling bantu-membantu, pikullah tanggungjawab bersama-sama. Inilah tanda keimanan dan teras persaudaraan. Hendaklah kamu berjanji untuk saling bertanya khabar dan membuat kebajikan. Hendaklah kamu sentiasa bersedia membantu saudara kamu setiap kali diperlukan. Hayatilah sabda RasuluLlah SAW:
Jika salah seorang di antara kamu berjalan kerana mahi menunaikan keperluan saudaranya itu, (ia) adalah lebih baik daripada dia beriktikaf selama sebulan di masjid saya ini.
Sesiapa yang membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga muslim, Allah akan memperlihatkan kepadanya ganjaran yang tidak kurang daripada syurga.

Allah menyatukan hati kamu dengan ruhNya, Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong."

(dan selebihnya ianya disebutkan di dalam Risalah Sistem Usrah, Hasan al-Banna)

Dalam proses untuk kita mencantikkan lagi sistem ini, setiap al-akh hendaklah sentiasa menyemak kewajipannya dalam aspek kerjasama. Penilaian perlu dibuat sejauhmana dia melaksanakan rukun-rukun ini. Kita ingin memperkuatkan saff kita, maka kita harus bermula dengan memperkuatkan usrah kita. Janganlah sekadar ianya menjadi satu rutin perjumpaan mingguan, umpama air yang tidak mengalir, lalu menjadi busuk dan membiakkan penyakit.

Ummah ini memerlukan kepada satu gerombolan pemuda, yang tinggi cita-citanya, yang kuat keazaman mereka, dan bersungguh-sungguh di dalam usaha mereka. Tetapi mereka perlu disusun dalam saff yang tersusun, dan diikat dengan ikatan yang kuat sesama mereka dan para syuyukh (orang-orang tua).

Kewujudan mereka membawa perubahan kepada dunia,
Sinar keimanan dari hati mereka menghancurkan kegelapan kejahilan,
Sehingga tidak terjadi lagi fitnah di muka bumi,
Dan ad-deen keseluruhannya adalah untuk Allah.

KEPENTINGAN USRAH
Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH
Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
Dipetik dan diubah suai daripada risalah "Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah" oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.
وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً
...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...