Pages

Monday 2 July 2012

Antara hidup mulia seorang manusia dan hidup mulia seorang muslim


Keperluan asasi dalam kehidupan seorang manusia adalah ia boleh atau bebas melakukan keperluannya iaitu keperluan untuk bernafas, makan, minum, seks dan tidur. Ini disimpulkan sebagai Physiological Needs dalam Maslow’s Hierarchy of Needs. Tangga seterusnya dalam hirarki ini adalah Safety Needs atau Jaminan Keselamatan dalam melaksanakan, mendapatkan dan meneruskan Physiological Needs di tangga pertama. Manusia akan berusaha untuk mencapai keperluan yang seterusnya apabila tangga terawal dicapai.
Maka atas sebab itu kita melihat manusia hari ini apabila sudah dipenuhkan asas di tangga pertama maka ia akan berusaha untuk memastikan jaminan pada keperluan itu akan berterusan. Maka mereka berjuang mencari kerja yang baik agar ada pendapatan yang stabil dalam memastikan keperluan asasi tercapai. Selain itu mereka berusaha memastikan kesihatan dan keselamatan mereka terjaga.
Atas formula ini mudah untuk kita memahami situasi hari ini yang mana manusia akan berusaha memperjuangkan haknya agar keperluan-keperluan asasi ini dicapai. Sekiranya dicapai, maka kehidupan itu seolah-olah sudah lengkap dan selayaknya sebagai seorang manusia. Sekiranya ia tergugat dan tidak dicapai, maka mereka bersungguh-sungguh mempertahankannya atau memperjuangkannya sehingga tercapai.
Di negara-negara Barat yang membangun atau maju, kedua-dua keperluan ini dirasai oleh majoriti rakyatnya meskipun tidak sepenuhnya dicapai dan mereka kini berusaha mempertahankan hak-hak untuk merasai dan menikmati keperluan-keperluan asasi ini.
Namun begitu, bagi seorang Muslim kemuliaan hidupnya bukan hanya bergantung kepada memenuhi keperluan asasi ini. Malah, pandangan Muslim yang sejati walaupun keperluan ini tidak berjaya diperolehi ia tidak bermakna kehidupan mereka tidak semulia orang lain. Yang lebih utama bagi seorang Muslim adalah hak dan kebebasan untuk melaksanakan kehidupan sebagai seorang Muslim sepenuhnya di dalam kerangka Syariat. Memperjuangkan haknya sebagai seorang Muslim itu lebih mulia daripada redha dengan kehidupannya yang tidak dihormati sebagai seorang Muslim.
Apakah hak dan kebebasan pada pandangan seorang Muslim? Pada asasnya ialah hak untuk menjalani kehidupan sehari-hari sebagai seorang Islam sepenuhnya. Hak untuk menyatakan keIslamannya tanpa rasa malu, ragu dan takut. Hak untuk mendirikan ibadah tanpa rasa takut, hak untuk menutup aurat, hak untuk tidak dicerca oleh orang lain kerana dirinya sebagai seorang Muslim, dan hak untuk merasa selamat di dalam kawasan atau negaranya daripada diancam hak dan kebebasannya oleh Penguasa atau Orang Bukan Islam.
Ayuh kita refleksi kepada kehidupan kita sebagai Muslim hari ini. Adakah hak-hak kita sebagai Muslim dihormati? Adakah kita rasa selamat bahawa hak-hak ini akan sentiasa diberi dan dijamin seterusnya sehingga generasi akan datang?
Untuk itu, kita memerlukan pemikiran dan jiwa yang sensitif dalam meneliti isu ini kerana telah lama kita DIBIUS dengan kehidupan liberal, sekular dan sosial sejak Kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh 500 tahun dahulu lalu dijajah oleh Portugis, Belanda dan British. Mereka perlahan-lahan mengubah persepsi kita akan Islam dan persepsi kita akan kehidupan sebagai SEORANG MUSLIM YANG MULIA. Kita melihat kehidupan kita hari ini sebenarnya menggunapakai kacamata mereka sebagai penjajah.
Memang hak kita untuk beribadah tidak diganggu. Kita berhak untuk melaksanakan solat di Masjid-masjid malah di mana-mana sahaja. Kita berhak untuk menunaikan puasa, zakat dan haji. Namun JAMINAN KESELAMATAN atau SAFETY NEEDS kita sebagai seorang Muslim sebenarnya sudah tergadai dalam konteks kehidupan bermasyarakat hari ini.
Kita ambil hiburan sebagai satu kajian. Di Televisyen dan Pawagam seluruh negara, anak-anak muda Islam dan Bukan Islam dibiuskan dengan hiburan yang melampau, merosakkan akhlak dan menjajah pemikiran. Iklan-iklan TV amat sedikit yang menggambarkan majoriti rakyat Malaysia adalah Muslim; jarang yang bertudung, jarang atau tiada digambarkan keluarga Islam yang baik, pakaian artis menjolok mata dari kalangan Muslim dan juga Bukan Muslim, rancangan yang merosakkan dan sebagainya.
Hub-hub hiburan melata di sana sini yang kononnya untuk Bukan Islam tetapi kini dibanjiri oleh orang Melayu Muslim sendiri. Arak-arak dan pusat judi diberi lesen kononnya untuk Bukan Islam tetapi juga disasarkan kepada orang Islam terutamanya di kalangan Melayu. Carlsberg contohnya mempunyai kilang terbesar di Shah Alam dan sasaran pasaran terbesarnya adalah Malaysia.
Pada masa yang sama kita terus meraikan dan membenarkan hak Bukan Islam untuk berhibur dalam komuniti kita sambil disaksikan oleh generasi muda hari ini yang suatu hari nanti jika tidak ditegah akan turut sama menuruti mereka.
Persoalannya, adakah kita berasa selamat dengan situasi-situasi sebegini? Adakah kita berasa anak-anak generasi kita akan selamat Imannya dan dapat berterusan hidup sebagai Muslim dalam gambaran kehidupan masyarakat seperti ini? dan Adakah kita berasa Mulia hidup sebagai Muslim dalam suasana seperti ini; yang hari-hari kita berperang dalam jiwa kita dibentengi dengan Iman kita apabila kita membaca suratkhabar ada gambar yang mencolok mata, menonton TV yang dipenuhi zina dan maksiat, pergi ke pasaraya melihat muda-mudi berlibur dalam pergaulan di luar batasan agama, malah menghantar anak-anak ke sekolah yang pelajar-pelajarnya dibanjiri hedonisme dan pergaulan bebas?
Bagaimana pula hak kita sebagai pekerja Islam. Bolehkah kita menutup aurat atau kita ditegah langsung kerana ia akan mengganggu gugat Business. Adakah kita dibenarkan Mendirikan Solat pada waktunya? Berpeluang mengerjakan solat Jumaat? Bekerja dalam keadaan jujur dan amanah tanpa rasuah dan sebagainya.
Sebenarnya banyak lagi hak-hak kita untuk hidup MULIA SEBAGAI MUSLIM/MUKMIN tergugat dan dicabuli dalam kehidupan seharian kita cuma kita tidak sedar kerana kita telah DIBIUS sekian lama. Lebih besar daripada itu adalah hak untuk hidup dalam SISTEM PEMERINTAHAN BERSYARIAT ISLAM agar semua hak sebagai Muslim terjaga dalam segenap aspek kehidupan manusia.
Maka persoalannya MULIAKAH KITA HIDUP SEBEGINI? BERMARUAHKAH KITA SEBAGAI SEORANG ISLAM? INIKAH KEHIDUPAN MUSLIM YANG KITA DAMBAKAN? Jika tidak, apakah yang boleh kita lakukan untuk memperjuangkan hak ini?
Kerana itulah kita melihat Orang Muslim di mana-mana (khususnya di Gaza dan Mesir) memperjuangkan haknya sebagai seorang Muslim walaupun keperluan asasi mereka tergadai. Biarpun berlapar dahaga dan tiada wang namun perjuangan tetap diteruskan. Biarlah hidup tidak mewah dan selesa tetapi tetap berasa izzah dengan kehidupan dan perjuangannya. Mereka memperjuangkan HIDUP YANG MULIA SEBAGAI SEORANG MUSLIM bukan hidup mulia pada kaca mata manusia. Justeru moto perjuangan hidup mereka adalah HIDUP MULIA atau MATI SYAHID atas perjuangan!!
Sekiranya kita berpada dengan jaminan makan, minum, tidur, seks, pakaian dan hiburan semata, maka tiadalah bezanya kita dengan haiwan!! Nauzubillahi min dzalik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...