Pages

Monday 2 July 2012

ISLAM DAN KEBEBASAN - Imam Al Qaradawi





Print
Islam datang dan telah memutuskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang mustahak diperhatikan, seperti kata Amirul Mukminin Umar ibn al Khattab RA yang mahsyur mengenai hal ini,"Sejak bilakah kamu mula menghambakan manusia sedangkan mereka itu dilahirkan oleh ibu-ibunya dalam keadaan merdeka".Manakala Ali bin Abi Talib dalam wasiatnya mengatakan,"Jangan kamu menjadi hamba kepada manusia sedangkan Allah telah mencipta kamu dengan merdeka". Maka prinsip asas ini terbit dalam masyarakat bahawa mereka bebas merdeka menurut hukum kejadian yang diciptakan Allah. Tentu sahaja sejak mereka lahir mereka adalah bebas, punya hak kemanusian dan tidak diperhambakan.
Islam telah datang dan juga mengabsahkan kebebasan rakyat dari diperkudakan pemikirannya, politiknya, sosialnya, agamanya, dan ekonominya. Islam telah memperakui hak asasi manusia seperti kebebasan agama, kebebasan berfikir, kebebasan akhbar, mengkritik dan apa jua kebebasan yang masih diperbahaskan manusia sehingga ke saat ini.
Islam sebagai agama menegaskan hak kebebasan manusia memilih pegangannya, juga hak mereka mengamalkan kepercayaannya. Islam tidak membenarkan bahkan tidak pernah memaksa  seseorang menukar agama kepada Islam, atau memaksanya menukar ke agama lain. Allah mengumumkan tentang hal ini dalam firman-Nya,"Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?" (Yunus:99).  Ayat ini diturunkan semasa Baginda masih berada di Makkah. Dan ketika Baginda berada di Madinah, diturunkan pula surah Al Baqarah yang turut mengandungi perihal yang sama,"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)".(Baqarah: 256)
Ayat ini turun sebagai bukti keterangan kepada kita betapa tingginya Islam memartabatkan dan mengagungkan erti kebebasan sebenar. Pada zaman Jahiliyyah, wanita daripada kaum Aus dan Khazraj yang hamil disyaratkan untuk bernazar agar anak yang bakal lahir, jika lelaki mereka menjadikannya sebagai seorang Yahudi. Dengan cara inilah berkembangnya anak-anak beragama Yahudi hidup dalam dua kabilah Arab, Aus dan Khazraj. Apabila Islam datang dan memuliakan umat Arab dengan agama suci ini, sebahagian ibu bapa berhasrat untuk mengembalikan anak-anak mereka yang beragama Yahudi satu ketika dahulu kepada agama Islam yang menjadi agama mereka dan agama umat pada masa itu. Bagaimanapun, Baginda tidak membenarkan tindakan memaksa seseorang supaya keluar atau menukar agama biarpun ia adalah agama Islam. Inilah yang  dimaksudkan dalam firman Allah yang bermaksud,"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)". Sedangkan pada waktu kekuasaan Byzantine (Rom Timur), mereka menyatakan sebagai syarat kepada rakyatnya, "masuk agama Kristian atau kamu memilih untuk mati". Manakala di Parsi, orang-orang yang berani mengerakkan reformasi keagamaan akan dikenakan tuduhan-tuduhan fitnah, kematian atau yang seumpamanya. Demikianlah kenyataan-kenyataan yang harus ditelan pada waktu itu.
Kerana itu, adalah tidak benar jika dikatakan bahawa prinsip kebebasan itu merupakan produk asli yang dibentuk oleh idea masyarakat, tuntutan revolusi ataupun berpunca dari kematangan cara fikir yang dicapai oleh manusia. Sebenarnya kebebasan ataupun kemerdekaan merupakan prinsip yang jauh lebih tinggi daripada sistem masyarakat yang berlaku pada masa itu. Ia adalah prinsip yang datang dari wahyu (perutusan dari Yang Maha Tinggi) demi mengangkat martabat manusia di muka bumi. Islam datang untuk mengangkat martabat kemanusiaan dengan menetapkan prinsip tersebut. Islam telah dahulu mengamalkan hak kepercayaan dan kebebasan memeluk agama. Akan tetapi kebebasan yang diakui Islam mempunyai syarat dan terma agar agama ini tidak menjadi permainan manusia, seperti yang diperolok-olokkan melalui lisan bangsa Yahudi. Hal ini dinaqalkan oleh Allah Taala melalui firman-Nya,"Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri); Berimanlah kamu kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya supaya mereka (merasa ragu-ragu) lalu kembali menjadi kafir semula". (Ali-Imran : 72).
Pada pagi hari mereka (ahli kitab) beriman, dan pada petang hari itu juga mereka berbolak-balik lalu berkata,"Ternyata agama Muhammad begitu begini, lalu kami tinggalkannya". Atau ada dari mereka yang hari ini beriman lalu esok harinya mereka menjadi kafir (ingkar) kembali. Barangkali jika agama itu menjadi permainan, akan ada yang beriman hanya selama seminggu. Mereka melecehkan agama Islam sedangkan Allah mahu supaya agama-Nya tidak dijadikan barang dagangan. Orang yang telah memeluk Islam, mereka mestilah menyakini dan menyedari kebenarannya. Maka, ia harus kekal menjadi orang Muslim dan jika tidak mereka akan menghadapi hukuman riddah (murtad). Inilah prinsip pertama hak asasi (dalam agama Islam) yakni kebebasan beragama.
Prinsip hak asasi yang kedua pula ialah kebebasan berfikir dan juga menganalisis (mengimbangi kebenaran sesuatu fakta). Agama Islam datang mengajak manusia supaya mengarahkan fokus pengamatannya ke alam semesta. Kemudiannya kita diajak berfikir,"Katakanlah (wahai Muhammad); Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)".(Saba:46). Di dalam Surah Yunus ayat 101 pula Allah menerangkan : "Katakanlah (wahai Muhammad); Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)".Firman-Nya lagi : "Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya  dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada". (Al Hajj:46).
Agama Islam mengecam sekeras-kerasnya orang yang memutuskan sesuatu perkara dengan hanya cara menduga, mengikut sangkaan, dan mengikut agak-agakan. Dengan tegas Allah Taala berfirman,"Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iqtikad)". (An Najm:28). Islam juga mengecam mereka yang hanya mengikuti selera hawa nafsu, meniru-niru (imitasi) generasi nenek moyang mereka tanpa berfikir, dan menuruti apa sahaja komitmen golongan berpangkat tinggi, padahal orang seperti ini kelak pada hari kiamat akan berkata,"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar". (Al Ahzab:67).
Islam juga mengecam orang-orang yang tidak menggunakan akal fikiran dengan mengatakan,"Kami dapati bapa-bapa (nenek moyang) kami memeluk suatu agama agar kami mendapat petunjuk dengan mengikuti (ritual kepercayaan) mereka". ( Zukhruf : 22). Allah turut mencela keras kepada orang yang hanya mahu meniru-meniru tanpa pengetahuan yang jelas lalu mereka diibaratkan sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat kerana hanya pandai menurut dan berakal beku. Islam menyeru agar mereka bebas berfikir, memanfaatkan akal fikiran dan mempertajam paradigma mereka sehingga mampu berhujjah kepada manusia dengan teriakan,"Tunjukkanlah bukti kebenaran kalian jika kalian sungguh tidak berdusta". (Al Baqarah:111).
Islam turut mengajak umat memantapkan akidah Islam bersandar pada dalil-dalil rasional (akliah). Oleh karena itu ada ulama Islam yang mengatakan,"Akal yang jelas, asasnya bermula dari naqal yang sahih". Akal yang memiliki asas naqalan wahyu yang benar dan menjadi dalil pembuktian tentang kebenaran Allah dan kerasulan Nabi-Nya, Muhammad SAW itu semua diawali dengan kebebasan berfikir. Akal yang akan menimbulkan fikiran supaya percaya bahawa Baginda Muhammad itu seorang Rasul setelah menerima pembuktian dengan menyaksikan mujizat yang membuktikan kenabiannya. Akal juga yang akan mengimbangi sama ada orang yang mengakui dirinya Nabi tanpa disertai pembuktian dan mukjizat dikenal sebagai ini Dajjal, pendusta dan seterusnya. Demikian tingginya penghargaan Islam kepada akal fikiran.
Di sini jelaslah ajaran Islam memperuntukkan hak kebebasan kepada akal fikiran, hak menguji sesuatu kebenaran dan kerana itu kita menemui berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ulama. Di antara mereka ada yang melihat kesilapan pada pendapat sebahagian yang lain, ada juga yang menolak pendapat yang lain (hal ini tidak ada salahnya pada agama Islam). Dalam satu kitab yang pernah dikarang, kita menemukan dua orang tokoh ulama, seorang Mu'tazili (bermazhab mu'tazilah) dan yang seorang lagi Sunni (bermazhab Ahlus-Sunnah) seperti Kitab Tafsir Al Kasysyaf karangan Imam Zamakhsyari yang bermazhab mu'tazilah. Ternyata kitab karangan beliau dimanfaatkan oleh seluruh ulama Ahlus-Sunnah, dan hal itu tidak dikira sebagai tembok yang mengekang akal untuk melakukan pengkajian dan menganalisis secara ilmiah. Seorang ulama dari Ahlus-Sunnah seperti ibnul Munir turut menulis Hasyiyah (penjelasan atau huraian) mengenai kitab Al Kasysyaf  dengan judul "Al Intisof min Al Kasysyaf". Begitu juga ulama Sunni seperti Al Hafiz Ibn Hajar turut menulis mengenainya dengan judul "Al Kafi Asysyafi Fi Takhrij Ahaditsil Kasysyaf".
Begitulah para ulama saling bertukar manfaat dengan buku-buku yang ditulis oleh mereka dengan memaparkan lembaran argumentasi mengenai pelbagai masalah. Demikian juga kita menyaksikan perbezaan pendapat di antara para ahli feqh, masing-masing menghadapi kenyataan tersebut dengan lapang dada. Semuanya ini kenyataan yang membuktikan bahawa Islam menjamin kebebasan berfikir dan kebebasan mengeluarkan pendapat di kalangan umat Islam.
Islam juga memperuntukan hak mengeluarkan pendapat dan mengkritik (naqd). Islam mengakuinya, bahkan lebih dari hanya sekadar kebebasan. Islam mengiktiraf pendapat dan kritikan jika hal itu berhubung kait dengan kemaslahatan umat, ketinggian akhlak dan tata susila. Hal wajib yang dinyatakan di dalam Islam bahawa para pemeluknya diperintahkan untuk mengatakan kebenaran dan dia seharusnya tidak menyesali caci makian orang lain. Islam juga meletakkan hak berbicara diberikan seluasnya dalam urusan menyuruh perkara-perkara kebajikan, mencegah kemungkaran, menyeru manusia kepada kebaikan iaitu dengan menegaskan hal yang baik itu baik dan yang buruk itu buruk. Semuanya itu menjadi kewajiban yang diperintahkan Islam kepada kita jika tidak ada orang lain yang mampu melaksanakan perintah-perintah tersebut. Ia adalah kewajiban yang tidak boleh diabaikan, jika sikap diam kita itu mengancam keselamatan umat atau akan mengakibatkan tindakan kerosakan umum. Dalam situasi seperti itu kita wajib mengatakan yang benar. Allah Taala berfirman,"Suruhlah (semua orang) berbuat baik dan mencegah kemungkaran serta bersabarlah menghadapi musibah yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)". (Luqman:17).
Inilah kebebasan ajaran Islam yang menjangkau jauh dari akal penganutnya. Islam tidak memerintahkan agar manusia dinafikan haknya dari mengeluarkan pendapat dan tidak ada seorangpun diperintah (dalam Islam) agar lidahnya dibisukan supaya mereka tidak boleh berbicara sebelum mendapat izin. Islam tidak seperti yang dilakukan oleh Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, ketika ahli sihirnya itu beriman kepada Nabi Musa lantas Firaun berbicara kepada mereka,"Berani benar kalian beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin?!". Menurut kemahuan Firaun yang dinyatakan, jangan ada yang beriman sebelum diizinkan olehnya dan jangan ada orang yang berbicara kecuali setelah mendapat persetujuan darinya (Firaun) - Islam tidak mengajarkan hal-hal seperti itu.
Islam datang membawa ajaran yang memberikan kebebasan manusia berfikir, bahkan memerintahkan manusia supaya mengaplikasikan akal supaya mereka mampu mempercayai hal yang benar. Dari hal itu Islam mewajibkan orang yang mempunyai keyakinan mempertahankan akidahnya walaupun dengan kekuatan senjata. Kaum Muslimin diperintahkan agar mempertahankan prinsip kebebasan agama sehingga ia tidak menimbulkan fitnah (bencana) dan menjadikan semua agama menerima prinsip yang diarah Allah. Sekalipun kaum Muslimin diperintahkan untuk mempertahankan kebebasan dengan jentera kekuatan dan senjata, Islam tetap melarang perbuatan menindas,  Islam melarang perbuatan menganiaya dek perbezaan akidah atau agamanya. Allah telah berfirman di dalam ayat yang pertama diturunkan mengenai pensyariatan perang dan jihad membela agama Islam,"Diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka itu dianiaya". (Al Hajj:39). Seterusnya ayat lain dalam surah yang sama,"Sekiranya Allah tidak menolak kekejaman sebahagian manusia dengan (kekuatan) sebahagian  manusia yang lain tentulah telah roboh biara-biara, gereja-gereja, tempat-tempat peribadatan dan masjid-masjid, yang didalamnya banyak disebut nama Allah".(Al Hajj:140). Maksudnya jika Allah tidak menetapkan agar kaum Muslimin mengangkat senjata, membela kemerdekaan mereka  dan mempertahankan semua prinsip kemerdekaan di muka bumi ini, nescaya tidak ada seorangpun yang  bebas menyembah sujud kepada Allah, tiada lagi kelihatan masjid-masjid, gereja-gereja, synagogue atupun peribadatan lain yang di dalamnya disebut nama Allah.
Begitulah agama Islam datang membawa prinsip kebebasan, berupa kemerdekaan demi pembelaan hak dan kerukunan, bukan kemerdekaan membela kekufuran, kejahatan dan kederhakaan  terhadap Allah seperti yang berlaku pada era modenisasi ini. Orang yang  menganggap kebebasan itu hanya dengan namanya semata-mata sebagai bebas melakukan seks, minum arak dan bebas melakukan dosa yang mereka inginkan, hal ini sebenarnya dilakukan atas dasar kepentingan bukannya kebebasan. Kebebasan seperti ini jauh tersasar dari Islam kerana ia merosakkan peribadi, menghancurkan akhlak, melumpuhkan hati nurani, memusnahkan ibadah dan memporak-perandakan rumah tangga, lalu inikah kebebasan pada hakikatnya. Jika kebebasan seumpama ini yang dimaksudkan, maka Islam sama sekali tidak berkompromi makna kebebasan merosakkan. Islam tidak mengiktiraf kebebasan untuk melakukan perbuatan fasik sebagai simbol kebebasan hak asasi.
Islam memperakui hak asasi manusia dalam bentuk kebebasan mereka untuk berfikir, kebebasan bermaklumat, kebebasan menyatakan pendapat, mengkritik, kebebasan beriqtikad, beragama dan keseluruhan hak-hak kebebasan ini dibangunkan demi mencapai makna kehidupan. Mereka mestilah bebas melakukan perjanjian atau kontrak misalnya dengan etikanya ia tidak menyakiti sesiapapun, bebas mempunyai hak pemilikan dengan syarat ia dikendali secara sah tanpa membawa mudharat atau menyebabkan mudharat. Hal ini termasuk dalam kaedah umum Islam,"Jangan mencari mudharat dan menyebabkan kemudharatan".
Adapun kebebasan yang merugikan, membahayakan diri sendiri atau membahayakan orang lain, wajib dilarang dan dicegah. Setiap individu wajib menyedari bahawa nilai hujung kebebasan seseorang itu merupakan noktah permulaan bagi kebebasan yang juga ingin dimiliki oleh orang lain. Mengaku mempunyai hak peribadi itu sebagai "hak mutlaknya" dengan cara menginjak-injak hak orang lain, maka hal tersebut tidak diakui sama sekali sebagai kebebasan yang diperuntukan dalam Islam. Sebagai contoh anda mempunyai kebebasan menggunakan jalanraya, tetapi mestilah dengan syarat anda mematuhi etika lalu lintas, bukan dengan cara melanggar orang lain yang turut menggunakan laluan tersebut, mestilah mengikuti arahan lalu lintas, dan mematuhi setiap undang-undangnya. Ada sekatan-sekatan yang perlu diambil peduli terhadap pengguna jalan raya, seperti berhenti ketika lampu merah, gunakan lorong kanan atau sebaliknya. Inilah antara sekatan-sekatan kebebasan demi mencapai kepentingan umum. Begitu juga agama, setiap sistem memilki akta-akta yang khusus yang meletakkan sekatan-sekatan tersebut. Begitu jugalah apa yang ada pada Islam, kesemua sekatan (berupa larangan dan tegahan) itu demi mencapai sebuah kebaikan yang mampu dicapai oleh kehidupan sejagat. - TARBAWI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...