Pages

Sunday 1 July 2012


3. SYARAT-SYARAT UKHUWAH FILLAH

Terdapat beberapa syarat dan asas bagi ukhuwah fillah. Tidak akan terbentuk ukhuwah fillah melainkan setelah dipenuhi syarat-syarat tersebut, dan tidak mungkin ia diterima di sisi Allah kecuali setelah orang-orang Islam menyelusuri jalannya dan setelah mereka mengambil yang sebaik-baiknya.

Maka di sini dihidangkan antara syarat-syarat dan asas-asasnya yang terpenting. Mudah-mudahan ia menjadi peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau mendengarkan (pengajaran), sedang dia (hatinya) hadir.

1. Hendaklah persaudaraan itu ikhlas kerana Allah:

Keikhlasan ini tidak mungkin tercapai melainkan setelah dibersihkan jiwa orang-orang yang bersaudara daripada sebarang bentuk maslahat diri, dan disucikan daripada segala kepentingan peribadi. Maka ketika itulah ukhuwah akan menghasilkan buahnya, dan merealisasikan hasilnya dan kesan-kesan positifnya dalam masyarakat.

Kepentingan ikhlas dalam hubungan persaudaraan telah disebutkan di dalam hadis riwayat Muslim yang telah lalu. Tentang pertanyaan malaikat kepada seorang lelaki yang menziarahi saudaranya di sebuah kampung: "Ke mana kamu ingin pergi? Lelaki itu menjawab: Aku ingin menziarahi seorang saudara di kampung ini. Malaikat bertanya lagi: Adakah di sana habuan bagi kamu yang kamu kejar? Kata lelaki itu: Tidak, melainkan aku sesungguhnya mengasihinya kerana Allah. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah menyayangi kamu sebagaimana kamu menyayanginya."

2. Hendaklah persaudaraan itu disertakan dengan iman dan takwa:

Hal ini tidak dapat dicapai sehinggalah seorang muslim memilih sahabatnya di kalangan orang yang beriman, yang paling suci hatinya dan yang paling bertakwa.


Kepentingan iman dan takwa telah disebutkan dalam firman Allah taala: "Orang-orang mukmin itu adalah bersaudara" [49:10] "Pada hari itu (kiamat) orang-orang berteman, setengah mereka bermusuh-musuhan terhadap yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." [43:67]

Telah meriwayatkan Abu Daud dan at-Tarmizi daripada Abi Sa'id al-Khudriy r.a daripada Nabi s.a.w.: "Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman."

Daripda Abu Hurairah r.a. Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Seseorang itu mengikut agama temannya. Maka hendaklah setiap orang daripada memperhatikan siapakah yang dijadikan teman."

Apabila persaudaraan itu disertakan dengan iman dan takwa, maka jadilah ia lebih kukuh daripada gunung dan lebih kuat daripada bangunan pencakar langit. Bahkan tidak mungkin dapat digegarkan dan digugah sepanjang zaman.

3. Hendaklah persaudaraan itu melazimi dasar-dasar Islam:

Yang demikian itu tidak mungki berhasil sehinggalah dua orang yang bersaudara itu berjanji melaksanakan syariat Allah, dan kembali kepada petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap situasi dan keadaan.

Perkara ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya iaitu:

"2 lelaki yang saling berkasih sayang di jalan Allah. Bertemu di atasnya dan berpisah di atasnya jua." (atas janji untuk melazimi dan melaksanakan syariat Allah saat pertemuan dan perpisahan.

Lantaran itulah para sahabat Nabi s.a.w. apabila mereka bertemu, mereka tidak akan berpisah melainkan setelah salah seorang membacakan surah al-Asr kepada sahabatnya yang lain yang sejurus kemudian memberi salam.

Ini bermakna bahawa mereka sama-sama berjanji untuk melaksanakan syariat Islam, berjanji untuk melazimi iman dan amalan yang baik, berjanji untuk berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran, dan berjanji supaya mereka menjadi umat yang menegakkan dan mempertahankan agama ini.

4. Hendaklah persaudaraan itu tertegak atas usaha saling menasihati kerana Allah:

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku sehingalah seorang itu menjadi cermin kepada saudaranya yang lain. Apabila dia melihat kebaikan yang dilakukan sahabatnya ia lantas memberi semangat dan mendorong supaya menambah amal kebaikan lebih banyak. Manakala apabila dia melihat kekurangan dan kelemahan, dia lantas menasihati sahabatnya secara rahsia, meminta ia bertaubat kepada Allah dan kembali kepada petunjuk dan agama yang benar. Sesungguhnya pada yang demikian itu terserlah usaha tolong menolong pada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan langkan yang drastik untuk membentuk peribadi yang bersaudara atas asas Islam dan neraca syariat.

Atas dasar nasihat yang ikhlas kerana Allah inilah para sahabat berjanji setia dengan Nabi s.a.w. Supaya mereka menjadi pendakwah yang benar, petunjuk yang baik, dan golongan yang sentiasa menyeru kepada kebajikan di mana sahaja mereka berada dan ke mana sahaja mereka pergi.


Bahkan kita mendapati Nabi s.a.w. mewajibkan setiap mukmin itu menjadi penasihat bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, bagi pemimpin Islam dan seluruh umatnya.

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Nabi s.a.w.: "Agama itu nasihat. Lalu kami bertanya: Bagi siapa ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab: Bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, bagi pemimpin Islam dan seluruh umatnya."
Nasihat bagi Allah: supaya beriman dengan-Nya dan menyucikan-Nya daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya serta mentaati-Nya. Nasihat bagi kitab-Nya: supaya membacanya dengan sebenar-benar bacaan, beramal dengan hukumnya dan beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat. Nasihat bagi rasul-Nya: supaya beriman dengannya, melazimi sunnahnya, menurut perintahnya dan meninggalkan larangannya. Nasihat bagi pemimpin umat Islam: menegur mereka jika bersalah dan mentaati mereka dalam kebaikan. Nasihat bagi umat Islam seluruhnya: supaya mengambil manfaat, menolak mudarat, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Akan tetapi apakah tindakan kita kepada sahabat yang tidak mengendahkan nasihat?

Ketika mana nasihat dan peringatan tidak memberi kesan sedangkan kemungkaran dan maksiat terus menerus dilakukan, maka seorang muslim terpaksa memulau sahabatnya kerana Allah sehinggalah ia kembali kepada kebenaran.

Tetapi jika ia enggan kembali, berdegil dengan kefasikannya, terang-terangan kejahatannya dan berputus asa kita untuk memperbaikinya, maka wajiblah kita memulau selamanya. Dan pemulauan ini dianggap tuntutan iman yang paling berat bagi hak orang islam yang fasik.

Sesungguhnya matlamat pemulauan ini adalah sebagai hukuman bertempoh untuk mencegah dan mendidik. Seperti yang Nabi s.a.w. lakukan terhadap isteri-isterinya selama sebulan, dan terhadap beberapa orang sahabat yang melarikan diri daripada ikut serta dalam peperangan Tabuk selama 50 hari.

Adapun bagi hak orang kafir yang terang-terangan kufurnya atau muslim yang murtad, maka pemulauan ini dianggap sebagai tuntutan iman yang paling ringan dan pesanan al-Quran yang paling nyata. Sekalipun yang kafir atau yang murtad itu bapa atau saudara atau anak.


Firman Allah taala: "Engkau tiada memperoleh kaum yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, bahawa mereka mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, meskipun mereka itu bapa, anak, saudara, atau kaum keluarga mereka." [58:22]

Ayat ini menerangkan bahawa pemulauan ahli keluarga sekiranya mereka berkeras dengan kekufuran; adalah kewajipan iman dan tuntutan Islam. Ini kerana Islam lebih mengutamakan hubungan ukhuwah Islamiyah berbanding hubungan yang lain dan tautan akidah rabbaniyah berbanding yang lain.

Kerana prinsip Islam yang tidak pernah berubah; bahawa orang-orang mukmin itu bersaudara. 

Dan kerana syiarnya yang tidak akan berubah selamanya; bahawa sesunggunhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertakwa. 

5. Hendaklah persaudaraan itu di bina atas usaha bantu membantu di saat susah dan senang:

Yang demikian itu tidak mungkin diraih melain setelah seseorang itu berkongsi kegembiraan temannya saat ia gembira dan menanggung sama kesedihannya saat ia berduka cita.

Apabila Islam menjadikan tolong menolong di antara orang Islam saat susah dan senang perkara yang mesti dan hak yang wajib, maka bagi pihak orang yang bersaudara kerana Allah terlebih mesti dan terlebih wajiblah ia. Yang demikian itu kerana mereka telah berjanji untuk seiring sejalan dalam melaksanakan manhaj Islam sama ada dengan percakapan dan perbuatan, dan berjanji mengaplikasikan syariatnya secara keseluruhan dan terperinci, dan berjanji untuk tidak mengingkari tuntutan agama walau seinci, dan berjanji tidak menyimpang dari panduan Allah dalam amalan dan akhlak walau sebesar zarah.

Sesungguh Islam adalah tauladan bila ia mengatakan:

"Tolong-menolonglah kamu dalam hal kebaikan dan takwa."

"Tidak beriman salah seorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagai mana dia mengasihi dirinya sendiri."


"Barang siapa yang mempunyai lebih (ruang) kenderaan maka sudi-sudikanlah kepada orang yang tidak punya kenderaan, dan barangsiapa yang punya lebih bekalan maka sudi-sudikanlah kepada orang yang tak punya bekalan."

"Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain. Ia tidak menzalimi saudaranya, dan tidak mencuaikannya. Barangsiapa yang memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya pula. Dan barangsiapa yang melepaskan satu kesulitan daripada orang muslim, Allah akan melepaskan satu kesulitannya di hari kiamat. Dan barangsiapa menutup keaiban muslim, Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat."

"Bandingan orang-orang yang beriman dalam saling mencintai, berkasih sayang dan tolong menolong mereka seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengerang kesakitan, sekalian tubuh berjaga malam dan merasa demam."

Maka orang2 yang bersaudara kerana Allah adalah golongan pertama yang termasuk dalam kategori ini. Kerana merekalah yang menjuarai usaha menitipkan prinsip-prinsip syariat, dan melazimi peraturan-peraturan Islam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...