Pages

Monday 2 July 2012

TRIBULASI PERJUANGAN GERAKAN ISLAM




Print
Tribulasi merupakan ujian daripada Allah Taala kepada hambanya yang beriman dan berjuang pada jalanNya. Telah menjadi lumrah zaman berzaman bahawa setiap pendokong kebenaran itu diuji dan dicuba.Cubaan-cubaan itulah yang akan menjadi neraca perjuangan di sisi Allah sama ada mereka benar-benar menegakkan Islam kerana kebenaran atau berjuang kerana kepentingan material seperti jawatan, harta dan kemegahan.
Firman Allah Taala :
"Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." - Surah al Anfal:30

Ujian bagi para pejuang semacam telah menjadi ciri yang khusus. Mana-mana jamaah atau Harakah Islamiah yang bergerak tanpa menempuh sebarang tribulasi kemungkinan jamaah itu ada kecacatan yang perlu dikoreksi dan dinilai kembali. Sesungguhnya orang yang beriman itu memerlukan tribulasi bagi mengukur sejauh manakah kekuatan dan kelemahan iman mereka. Firman Allah Taala :

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." - Surah al Ankabut:2-3

FirmanNya lagi :

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." - Surah al Baqarah:214

FirmanNya lagi :

"Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu." - Surah Muhammad:31

Bentuk-Bentuk Tribulasi

Tribulasi mungkin dalam bentuk kesusahan dan penderitaan yang menghimpit perasaan dan fizikal atau mungkin juga datang dalam bentuk kesenangan dan kemewahan yang menggembirakan hati. Selalunya ramai orang yang berjaya dengan ujian kesusahan tetapi rosak binasa dengan ujian kesenangan. Antara tribulasi-tribulasi yang digariskan sejak dahulu sampai sekarang ialah :
  • Penyeksaan yang menyakitkan hati yang datang daripada pendokong kebatilan.
  • Ujian isteri dan keluarga. Takut mereka diseksa dan diuji dengan sebabnya.
  • Ujian kekayaan dunia yang melimpah.
  • Ujian merasa diri dagang dan keseorangan sedangkan orang ramai tidak menyokong malah bermuafakat menentangnya.
  • Ujian ke atas nyawa.
  • Ujian perpecahan umat dan negara.
  • Ujian tekanan hawa nafsu dan keinginan.
  • Ujian hendak kekal di dunia ini.
  • Ujian malas untuk berjuang.
  • Ujian rindu kepada harta dan pangkat.
  • Ujian susah untuk istiqamah di atas jalan Islam kerana banyak godaan.
  • Ujian kejayaan lambat dicapai.
Tribulasi Sepanjang Zaman

Kita melihat dalam sejarah satu rangkaian tribulasi yang tidak pernah putus bermula daripada Nabi Adam A.S sampailah kepada pendokong kebenaran sekarang ini yang menyambung risalah para rasul. Para Rasul dan Mursalin merupakan golongan yang paling banyak menghadapi ujian dan tekanan yang sangat berat.

Tribulasi Para Nabi
  • Nabi Adam A.S berhempas pulas di zamannya dalam menghadapi tipu daya syaitan. Baginda dan Siti Hawa terpaksa turun ke dunia ekoran daripada angkara syaitan itu. Di dunia ini baginda berhadapan pula dengan ujian dalam bentuk yang lain selaku khalifah Allah.
  • Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan Namrud. Baginda berjuang menegakkan kebenaran tanpa pengikut dan penyokong yang ramai. Baginda terpisah daripada keluarganya. Akhirnya dicampak ke dalam api.
  • Nabi Musa A.S berhadapan dengan Firaun. Semasa kecilnya dihanyutkan ke sungai. Dalam menyatakan kebenaran Baginda ditentang dan diburu oleh Firaun dan pengikut-pengikutnya.
  • Nabi Isa pula berhadapan dengan kaum Yahudi yang zalim. Baginda menghadapi tentangan hebat dalam seruan dakwahnya. Kemuncaknya terdapat cubaan membunuhnya. Walau bagaimanapun, baginda diselamatkan oleh Allah Taala tetapi Yahuza Ishkariot yang terlibat dalam perancangan membunuhnya itu disalib oleh kaumnya sendiri.
  • Nabi Nuh A.S berjuang menyeru manusia agar beriman kepada Allah Taala hampir seribu tahun. Beliau ditentang oleh kaumnya dengan hebat. Malah ujian yang paling besar ialah apabila isteri dan anaknya sendiri menolak seruan baginda itu.
  • Nabi Ayub A.S diuji oleh Allah Taala dengan berbagai-bagai ujian. Dari seorang kaya menjadi miskin dan anak-anaknya pula dimatikan oleh Allah Taala. Selepas itu diuji dengan penyakit kulit selama 7 tahun sehingga ramai kawan-kawannya menjauhkan diri daripadanya. Rasulullah S.A.W merupakan orang yang paling hebat diuji oleh Allah Taala. Musuh-musuh Islam menggunakan taktik dan strategi untuk melemahkan perjuangan Rasulullah S.A.W seperti tuduhan, fitnah, rintangan, penyeksaan, maki hamun yang menyeksakan jiwa dan serangan fizikal sehingga membawa kepada cubaan untuk membunuhnya. Baginda pernah luka dan patah gigi kerana perjuangan menegakkan Islam.
Tribulasi Para Sahabat

Para sahabat yang bersama Rasulullah SAW juga menghadapi tribulasi. Mereka mengalami pelbagai jenis penyeksaan dan tekanan kerana pegangan mereka yang kukuh terhadap Islam. Walau bagaimanapun, tribulasi itu tidak sedikitpun menggugat keimanan mereka sebaliknya keimanan mereka semakin meningkat.
  • Bilal R.A dijemur di tengah padang pasir yang panas dan diletakkan batu besar di atas dadanya oleh tuannya, Umaiyyah bin Khalaf. Dengan berbuat demikian diharapkan Bilal meninggalkan Islam. Sebaliknya pegangan Bilal menjadi semakin kukuh.
  • Keluarga Yasir R.A menerima ujian yang hebat apabila memeluk Islam. Mereka dibakar oleh Bani Makhzum dengan besi yang panas. Yasir R.A yang telah lanjut usianya itu syahid kerana tidak dapat bertahan. Anaknya Ammar R.A menderita dipanggang tubuhnya. Manakala ibunya Sumayyah disula punggungnya dengan kayu sampai syahid. Khubaib bin 'Adie syahid dicincang tubuhnya oleh lembing 40 orang musyrikin kerana mempertahankan Islam. Khubaib meletakkan kecintaan kepada Allah Taala dan Rasulullah S.A.W lebih daripada dirinya sendiri dan keluarganya.
Tribulasi Para Tabi'en
  • Said bin Jubair, seorang ulama' yang hidup di Iraq semasa pemerintahan Hajjaj bin Yusuf at Thaqofi telah dibunuh kerana ketegasannya. Sikapnya yang tidak bertolak ansur dengan pemerintahan yang zalim menyebabkan beliau ditangkap dan didera. Akhirnya disembelih di atas sekeping kulit binatang. Bagaimanapun kemudiannya Hajjaj ditimpa sakit dan sempat hidup hanya 15 hari sahaja selepas peristiwa itu.
  • Imam Malik bin Anas R.A didera sebanyak 60 hingga 70 rotan. Kemudian diikat dengan tali dan dinaikkan di atas punggung unta lalu diarak mengelilingi Madinah. Beliau didera kerana mengeluarkan fatwa bahawa talak di antara suami isteri yang dipaksa itu tidak sah dan sumpah yang dipaksa itu juga tidak sah. Gabenor Madinah, Jaafar bin Sulaiman al Hasyimi mengarah beliau menarik fatwa itu tetapi beliau bertegas dengan pendiriannya.
  • Imam as Syafie ditangkap di Yaman semasa pemerintahan Harun al Rasyid kerana dituduh menyokong Syiah. Beliau diperintah berjalan kaki dari Yaman ke Baghdad dalam keadaan tangan dirantai. Beliau mengambil masa 2 bulan perjalanan untuk sampai ke Baghdad. Di situ beliau dipenjarakan sebelum diadili.
  • Imam Ahmad bin Hanbal didera dengan cemeti 38 kali sampai badan berdarah dan pengsan. Kemudian dipenjarakan di zaman pemerintahan Khalifah al Ma'mun. kerana tidak mahu mengikuti pendapat bahawa al Quran itu adalah makhluk. Di zaman itu fahaman mu'tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Ata' berkembang dan dilindungi oleh pemerintah.
  • Imam Abu Hanifah diseksa dan dicambuk sebanyak 110 kali di zaman khalifah Abu Jaafar al Mansur. Beliau ditangkap oleh gabenor Iraq, Yazid bin Amir kerana tidak bersedia menerima jawatan Qadi. Beliau takut takut menerima jawatan rasmi itu kerana bimbang tidak dapat menjaga kesucian jiwa agama pada peribadinya. Beliau merasa lebih bebas berdakwah di luar forum pemerintah. Akhirnya beliau dipenjarakan dan lehernya dirantai dengan besi yang berat. Setiap pagi beliau didera dengan cemeti sampai berdarah. Ibunya dibawa masuk memujuknya di dalam penjara, tetapi ditolaknya juga jawatan tersebut. Akhir sekali beliau dipaksa untuk meminum air yang mengandungi racun dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sujud kepada Allah.
  • Imam an Nawawi dibuang negeri kerana ketegasannya. Negeri Syam (Syria) ketika itu dilanda kemelesetan ekonomi sehingga rakyat berada dalam penderitaan. Raja Zahir Baybers memaksa rakyat yang miskin itu menghulurkan wang untuk tabung persediaan perang. Bagi Imam an Nawawi tindakan itu adalah zalim dan perlu ditentang. Dengan sebab itu beliau menjadi mangsa kezaliman raja.
  • Ibnu Taimiyyah dipenjara beberapa kali kerana ketegasannya menyatakan kebenaran. Ulama' kerajaan menfitnah dan menentangnya dengan penuh kebencian. Hukuman paling kejam yang pernah dirasakan apabila kitab dan alat tulisnya dirampas dan dikeluarkan dari kamar penjara. Beliau meninggal dunia di atas tikar solat ketika membaca al Quran setelah jatuh sakit lebih dari 20 hari di dalam penjara.
Tribulasi Pejuang Masakini
  • Imam Hassan al Banna adalah pengasas gerakan Ikhwan Muslimin 1928 di Mesir. Beliau bergerak di tengah-tengah masyarakat menyampaikan Risalah Islamiyyah. Perjuangannya menjadi sumber inspirasi kepada kebanyakan gerakan Islam masakini. Perjuangan meruntuhkan jahiliyyah dicemburui dan dicurigai oleh pemerintah dan penjajah. Lalu gerakan Ikhwan menghadapi tekanan dan penindasan yang berterusan. Kemuncaknya ialah peristiwa beliau ditembak oleh agen pemerintah pada 13 Februari 1949.
  • Syed Qutb adalah salah seorang anggota al Ikhwan yang mahsyur dengan kitabnya "Fil Zilaalil Quran". Beliau banyak menghasilkan karya yang bermutu yang menjadi sumber rujukan seluruh dunia. Beliau merupakan keluarga pejuang. Antara saudaranya yang pernah menghadapi tribulasi ialah Muhammad Qutb, Fatimah Qutb dan Hamidah Qutb. Beliau telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan tetapi kemudiannya dibebaskan. Antara yang berusaha untuk membebaskannya ialah Presiden Iraq, Abd al Salam Arif. Kemuncak tribulasinya ialah penangkapan beliau secara beramai-ramai sejumlah 46 000 anggota al-Ikhwan 1965. Pada 1966 beliau telah dihukum gantung.
Tribulasi Perjuangan PAS

Jamaah Islamiyyah bagi umat Islam di Malaysia ini ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 di Butterworth, Seberang Perai hasil dari kesedaran para ulama' dan pencinta Islam. Dalam usianya yang menjangkau 57 tahun itu PAS menempuh alunan dan gelombang yang penuh dengan pahit maungnya. Tribulasi kepada para pemimpinnya dan kepada tubuh parti itu sendiri telah dialami selama 5 dekad dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah :
  • PAS tidak dibenarkan memakai simbol bulan bintang - simbol asalnya yang menawan hati umat Islam. Perkara ini berlaku pada zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Lalu simbolnya ditukar kepada bulan purnama sebagaimana sekarang.
  • Penyokong-penyokong PAS ditekan di semua peringkat. Bantuan dan subsidi tidak diberi. Kakitangan kerajaan ditukar ke tempat yang jauh dan tidak dinaikkan pangkat. Juga berlaku diskriminasi.
  • Membentang Rang Undang-undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. Lanjutan daripada itu membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan.
  • Pembunuhan penyokong dan pemimpin PAS. Pembunuhan wakil rakyat PAS Kelantan, Abdul Samad Gul adalah misteri. Pembunuhannya tidak diadili sampai ke hari ini. Begitu juga kes pembunuhan ke atas Osman Talib di Lubuk Merbau, Kedah 1985. Peristiwa pembunuhan Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya di Memali, Kedah 1985 juga menjadi tanda tanya. Wang kebajikan PAS yang dirampas antara RM15000-RM20000 belum dipulangkan.
  • Penangkapan para pemimpin PAS. Dr Burhanuddin al Helmi ditahan sekian lama dalam penjara dan berakhir dengan kematiannya pada tahun 1969 setelah lama menderita akibat penyeksaan yang dikenakan ke atas beliau semasa dalam tahanan. Pada tahun 1984 seramai 3 orang exco Dewan Pemuda PAS Pusat ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka terdiri dari Ustaz Abu Bakar Chik (Adun Jeram, Terengganu), Mohamad Sabu dan Bunyamin Yaakob. Kemudian diikuti dengan Operasi Lalang 1987. Pada 1988 beberapa orang lagi ahli PAS ditahan di bawah Operasi Kenari.
  • Pemimpin PAS keluar jamaah merupakan satu kemalangan. Walaupun keahlian PAS tidak terjejas dengan tindakan mereka, tetapi maruah sebagai sebuah jemaah Islam terjejas. Sekiranya ada di kalangan pemimpin peringkat bawahan yang keluar jemaah, ianya kurang dipersoalkan. Tetapi apabila pimpinan utama seperti bekas YDP Hj Ahmad Fuad Hassan, Dato' Asri Hj Muda, bekas Setiausaha Agong Ustaz Othman Abdullah, NYDP Nakhaie Hj Ahmad, bekas Ketua Muslimat seperti Khadijah Sidek, Sakinah Juned, Salmah Sheikh Hussin dan lain-lain  yang terbaharu seperti Dato' Hassan Ali yang menyebabkan masyarakat menjadi gempar seketika.
  • Perpecahan dalaman juga merupakan satu tribulasi. Tertubuhnya BERJASA pimpinan Dato' Mohd Nasir 1978, HAMIM pimpinan Dato' Asri Muda 1983 dan kemudian ISLAH 1989 menyebabkan PAS terpaksa berhadapan dengan banyak musuh yang berasal daripada kawan- kawan sendiri.
Tribulasi Sebagai Tarbiyah
  1. Ujian dapat membersihkan diri orang-orang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap dan bertambah kuat serta dedikasi di dalam perjuangan Islam. Dengan itu mereka dapat menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.
  2. Tribulasi mendidik pejuang menjadi lebih tangkas dan berkeazaman yang kuat. Sesungguhnya dakwah yang benar tidak mungkin berdiri di atas kemudahan dan tidak boleh dibeli dengan murah.
  3. Tribulasi melahirkan manusia yang kuat jiwanya dan mampu membawa kebangkitan Islam di zaman ini. Mereka memperolehi ilmu, pengalaman dan contoh tauladan yang baik yang telah ditinggalkan oleh para pejuang itu.
  4. Tribulasi mendidik generasi menjadi sabar. Para mujahid yang gugur dan bertahun-tahun disiksa di dalam penjara menjadi sumber inspirasi dan lambang pengorbanan dan ketahanan generasi baru. Mereka akan mengambil contoh daripada pengorbanan itu.
Tribulasi Sebagai Saringan

Tribulasi penting dalam kehidupan manusia ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berjuang pada jalan Allah Taaa. Dalam kehidupan ini ada orang berjuang kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan ada yang berjuang kerana merebut peluang kebendaan atau keduniaan. Dengan adanya ujian, maka kedua-dua golongan ini akan dapat diasingkan. Yang mencari kepentingan duniawi tidak sanggup dan bersedia untuk menghadapi susah payah. Orang yang ikhlas sahaja mengharungi segala cubaan dan ujian.
Dengan hal demikian, dapat dikenalpasti siapakah yang munafiq yang berada di dalam jemaah Islam. Jumlah yang ramai tetapi menjadi duri dalam daging akan mendedahkan jemaah kepada bahaya.

Bagaimana Menghadapi Tribulasi?
  • Pendokong Islam hendaklah tabah dan gigih menghadapi sebarang cabaran dan tekanan.
  • Pendokong Islam jangan bertindak mengikut emosi, tetapi mestilah mengikut peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh syara'.
  • Mengatur strategi dengan baik dalam menghadapi musuh supaya mereka tidak mempunyai ruang yang banyak untuk memukul pendokong Islam.
  • Mendidik dan membina jiwa dengan ketahanan menerusi latihan-latihan kerohanian yang dapat meningkatkan ketahanan jiwa dari masa ke semasa.
  • Pendokong Islam hendaklah bersedia mengorban apa sahaja. Hendaklah dilatih dengan semangat berkorban sepanjang masa.
  • Pendokong Islam hendaklah matang, iaitu pandai mengukur dan menilai di antara yang merugikan dan yang menguntungkan dalam perjuangan.
  • Pendokong Islam hendaklah ditanam bahawa mati syahid di jalan Allah Taala merupakan semulia-mulia bentuk kematian. Jihad hendaklah dipupuk dari masa ke semasa.
  • Pendokong Islam hendaklah diingat bahawa pangkat dan harta itu tidak kekal. Setiap harta yang dimiliki akan dihisab oleh Allah Taala.
  • Pendokong Islam hendaklah diingat bahawa ujian di dunia ini mungkin ada kebaikan. Sekurang-kurangnya menimbulkan keinsafan.
  • Pendokong Islam hendaklah ikhlas. Segala-galanya tidak berguna kalau tidak bersendikan keikhlasan. Kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara sahaja.
Ujian mempunyai hikmah untuk membezakan di antara seorang yang benar dengan yang berdusta. Di antara orang yang benar-benar beriman dengan yang munafik. Di antara orang-orang yang sabar dengan yang berjihad. Dengan itu akan nyatalah keadilan Allah Taala tatkala diberi balasan yang setimpal kepada tiap-tiap golongan. Orang yang tidak pernah menghadapi ujian atau tribulasi hendaklah kembali memeriksa sikap dan langkah mereka kerana kemungkinan besar telah tersalah jalan dari jalan yang sebenamya. Tribulasi dalam perjuangan adalah sunnatullah dan undang-undang Allah Tala yang mesti berlaku. Bukanlah akibat daripada sesuatu kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...